Selasa, 3 Julai 2012

Najib takut bubar, strategi tidak menjadi


Strategi Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak menjadi untuk membolehkan beliau membubar Parlimen. Keresahan jelas terukir di wajah beliau yang akan memimpin  pilihan raya pada kali ini.

Tekanan daripada dalam Umno juga begitu kuat, jika Umno kalah bererti beliau akan dihambat oleh Umno daripada kerusi Presiden.

Walaupun sepatutnya pilihan raya diadakan pada tahun lepas, sehingga persidangan Umno ditangguhkan bagi menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya.

Bajet yang dibentangkan ialah bajet pilihan raya. Berbagai-bagai pemberian diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, bantuan kepada pelajar sekolah RM100 dan bantuan pelajar universiti RM200 dan banyak lagi skim untuk pancing undi.

Umno di bawah kepimpinan Najib cuba menggunakan taktik supaya negeri Pakatan Rakyat digambarkan oleh media Umno sebagai tidak mampu. Isu ini dijawab dengan amalan bukan dengan percakapan.

Kerajaan Pakatan Rakyat mampu mentadbir dengan baik dengan penuh ketelusan. Banyak manfaat yang diperolehi oleh rakyat, kerana  51 tahun Umno memerintah rakyat tidak merasai lebihan kekayaan negeri, terutama di Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat tidaklah mendabik dada ia kerajaan yang terbaik, namun rekod hampir lima tahun memeritah ia lebih baik daripada Umno memerintah 51 tahun di negeri tersebut.

Ketika negeri-negeri di bawah pemerintahan BN yang sedang menggigit jari, rakyat di negeri Pakatan Rakyat mendapat berbagai nikmat dan peningkatan kualiti hidup.

Taktik fitnah kepada kerajaan Pulau Pinang melalui media Umno kononnya anti Melayu telah terjawab, apabila sudah dua kali Utusan Malaysia didapati bersalah oleh mahkamah. Tujuanya supaya orang Melayu jangan dekat dengan Pakatan Rakyat.

Atas faktor inilah Najib belum berani mengadakan pilihan raya, kerana takut kalah. Suasana politik tidak menyebelahi BN, beliau cuba untuk menunggu peluang terbaik.

Namun masa terus berjalan, iddah pemerintahan Najib hanya sembilan bulan lagi, inilah menjadi kerunsingan kepada beliau. Semua taktik tidak menjadi, pakar-pakar strategi sudah habis digunakan namun nasib tidak menyebelahi Najib.

 Datuk Seri Najib Tun Razak masih takut mengumumkan tarikh Pilihan raya Umum ke-13 kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

Walaupun banyak gula-gula telah ditabur sehingga kemanisan melebihi paras bahaya, namun beliau masih tidak yakin dengan sokongan kepada rakyat.

Berbagai-bagai segmen pengundi cuba ditarik oleh beliau melalui janji manis dan slogan transformasi namun graf sokongan masih tidak berpihak kepada BN.

Terbaru beliau mengumumkan untuk menghapuskan monopoli lesen teksi oleh syarikat swasta kepada individu di perhimpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 24 Jun 2012. Di dalam program tersebut 66,000 pemandu teksi akan mendapat baucar tayar bernilai RM520 untuk empat biji tayar.

Alhamdulillah sekarang baru Najib sedar bahawa pemandu teksi menjadi hamba kepada kroni-kroni BN selama ini.

Nasib baiklah BN lemah dan Pakatan Rakyat semakin kuat barulah pemimpin Umno sedar selama ini dasar mereka memang menindas pemandu teksi.

Sebelumnya kerajaan telah memberi peruntukan BR1M sebanyak RM1.92 bilion kepada 3.8 juta isi rumah atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

Baucer setiap pelajar sekolah rendah dan menengah RM100 dan untuk pelajar universiti RM200. Pasukan keselamatan yang berkhidmat sebelum merdeka pun dapat RM3,000 walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Tidak cukup dengan duit diberi supaya mereka ini memberi sokongan kepada BN, maka diadakan pula perhimpunan 100,000 di Bukit Jalil dan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya untuk menunjukkan kekuatan  bahawa pengundi bersama BN.

Namun begitu Najib masih tidak yakin, kerana beliau tahu mereka yang datang bukan dengan sukarela, berbanding dengan himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Kedah.

Beliau juga khuatir pengundi hari ini hanya makan umpan, tidak lagi makan mata kail. Najib bernasib malang ketika memimpin PRU13 menghadapi pengundi yang celik maklumat dan rakyat semakin cerdik.

Najib yang memang terkenal sebagai orang yang suka menggula-gulakan rakyat dengan berbagai slogan dan janji kebendaan. Inilah tabiat beliau yang memang daripada muda sampai sekarang.

 Tarikh PRU13 tidak menentu menyusahkan semua rakyat di negara ini daripada bakal haji,  ahli politik, peniaga dan mahasiswa.

Ramai yang tidak jadi pergi mengerjakan umrah ketika cuti sekolah selama dua minggu, kerana takut pilihan raya.

Ada seorang jiran saya di Taman Melewar hampir membatalkan kenduri kahwin anaknya pada 9 Jun 2012, kerana ura-ura tarikh pembuangan undi.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Yong Poh Kon berkata akibat tarikh pilihan raya tidak menentu mereka berhadapan ketidaktentuan yang berpanjangan.

Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam juga mengalami penderaan yang sama kerana pihak universiti menerima arahan daripada pihak atasan supaya jangan adakan pilihan raya kampus kerana takut kumpulan pro Umno BN kalah.

Kerajaan faham bahawa keputusan pilihan raya kampus akan memberi kesan politik di luar.

Sekarang mahasiswa menjadi mangsa, sepatutnya pilihan raya kampus diadakan pada bulan Februari sehingga kini belum nampak petanda akan diadakan.

Tidak pernah berlaku di dalam sejarah pilihan raya kampus ditangguhkan, sehingga sudah melewati waktu.

Paling  malang ada di kalangan pimpinan MPP  yang akan menamatkan pengajian selepas peperiksaan sedang berjalan sekarang.

Persoalannya siapa yang akan mengendalikan urusan Majlis Perwakilan Pelajar selepas ini.

Nampaknya Najib menyusahkan semua rakyat termasuk mahasiswa turut menjadi mangsa.

Penangguhan pilihan raya kampus  menandakan Umno BN dilanda dengan mimpi ngeri bagi orang yang bersalah.

Tiada ulasan: