Rabu, 16 Mei 2012

Kemenangan presiden baru Perancis cepatkan siasatan Scorpene – Anwar

KUALA LUMPUR 15 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Presiden Perancis yang baru, Francois Hollande akan mempercepatkan siasatan terhadap skandal rasuah Scorpene membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
“Kemenangan presiden baru Perancis akan mempercepatkan siasatan kes rasuah kapal selam,” kata Anwar dalam satu ceramah di Batu Caves, baru-baru ini.
Menurut Anwar, rakan karib Perdana Menteri yang juga pemilik Perimekar iaitu Abdul Razak Baginda dan Najib sendiri antara saksi yang akan dipanggil.
Katanya, Mahkamah Perancis bukan hanya menghadkan siasatan mereka terhadap pembelian Scorpene, tetapi juga akan mengheret siasatan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu, apabila turut memanggil Dr Setev Shaariibu sebagai saksi perbicaraan.
“Kalau begitu, nama Malaysia akan terjejas. Proses keadilan sedang berjalan, apa keputusan saya tidak tahu.
“Tetapi yang saya tahu, ia tidak seperti badan kehakiman seperti Malaysia. Ia (Mahkamah Perancis) lebih bebas dan terbuka dan siasatan adalah berat kerana melibatkan kes rasuah yang besar.
“Kes ini ada kaitan dengan penjualan Submarine di Pakistan yang melibatkan 13 orang terbunuh dan penjualan submarine di Taiwan yang menyebabkan seorang terbunuh, dan di Malaysia mengakibatkan seorang terbunuh (Altantuya),” ujarnya.
Pendakwa awam Perancis yang menyiasat urus niaga pembelian Scorpene baru-baru ini menemui bukti bahawa Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk syarikat tempatan Perimekar daripada DCNI – anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.
Menurut kertas pendakwaan yang didedahkan NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram), terdapat faksimili menunjukkan Najib meminta jumlah itu sebagai syarat mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.
7 Mei lalu, Francois Hallonde, menewaskan Nicholas Sarkozy untuk jawatan presiden.

Tiada ulasan: