Isnin, 12 Mac 2012

AG, bekas IGP terbabit dengan ketua kongsi gelap

Laman portal berita, Malaysiakini mendedahkan dakwaan jenayah membabitkan bekas polis paling berkuasa di negara ini, seorang peguam negara dan juga tokoh kongsi gelap lima tahun lalu.

Malaysiakini mengakui memiliki dokumen yang mendedahkan maklumat oleh beberapa pemberi maklumat sehingga tertangkapnya ketua kongsi gelap Johor, Goh Cheng Poh atau dikenali Tengku Goh pada 2007.

Pemberi maklumat itu mendedahkan mereka membuat kenyataan bersumpah bahawa mereka dipaksa menukar maklumat asal oleh Badan Pencegah Rasuah yang kemudiannya ditukar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, enam pegawai polis yang dijadikan mangsa dan didakwa memalsukan bukti terhadap Tengku Goh yang didakwa terbabit dalam perjudian dan pengubahan wang haram. Mereka bagaimanapun akhirnya dibebaskan, yang terakhir adalah pada pertengahan 2011.

Kes itu bermula apabila mereka atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Johari Baharum, mula menyiasat Tengku Goh (Untuk peranannya dalam skandal ini, Johari sendiri pernah dituduh mengamalkan rasuah dan juga disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.)

Johari kemudian mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff, yang sebelum ini adalah Ketua Polis Pahang untuk menjalankan siasatan dan bertindak.

Ramli kemudian mengumpulkan lebih kurang enam pegawainya untuk menyiasat dan semasa menjalankan tugas, mereka mendapati ketua mereka, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Johor yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 2006 juga ada kaitan dan terbabit dengan kes berkenaaan.

Siasatan JSJK mendapati bahawa meskipun Musa ketika berkhidmat di Johor – telah menututp pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, beliau pada masa yang sama membantu “menyusunkan semula” beberapa sindiket berkenaan yang beroperasi di bawah “sistem payung” dikawal oleh Tengku Goh.

Berbekalkan maklumat daripada pemberi maklumat, JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan dan diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad.

Bagaimanapun, menerut Malaysiakini, kes semakin pelik dengan pembabitan peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Gani didakwa campur tangan dan beliau didakwa menggunakan BPR untuk mengakses fail sulit (digelar “Cicero”) dalam kes itu.

Adalah difahamkan bahawa tiada sesiapa, termasuk Ketua Polis Negara mahupun Peguam Negara dibenarkan untuk mempunyai akses kepada fail ‘Cicero’ apabila seorang pegawai telah diamanahkan mengendalikan kes berkenaan.

Tindakan menggunakan BPR untuk campur tangan dalam kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati di JSJK kerana ini adalah campur tangan terang-terangan dalam kerja-kerja polis.

Namun, JSJK tetap diarahkan supaya menyerahkan fail sulit berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara, dan hasilnya kertas Cicero berada di tangan BPR.

Berdasarkan maklumat dari fail sulit itu, BPR memburu pemberi maklumat yang maklumatnya digunakan sehingga tertangkapnya Tengku Goh.

BPR kemudiannya menggunakan ugutan, taktik menakut-nakutkan dan menyoal-siasat pemberi maklumat itu berhari-hari sehingga mereka menukar kenyataan sebelum ini.

Tiada ulasan: