Ahad, 26 Februari 2012

Kit Siang: Dakwa Tajudin dengan sumpah bohong sekiranya tuduhan Dr M tidak benar

Penasihat DAP Lim Kit Siang. — Gambar fail
Lim Kit Siang hari ini menuntut Datuk Seri Najib Razak mengesahkan dakwaan tentang Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu pembelian MAS (Penerbangan Malaysia) di bawah naungan Tan Sri Tajudin Ramli pada tahun 1994 atau mendakwa beliau dengan sumpah bohong.

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu berkata sebagai perdana menteri, Najib seharusnya mengetahui kebenaran disebalik pembelian tersebut dan seterusnya pembelian semula oleh kerajaan bagi menyelamatkan syarikat penerbangan berkenaan yang mengalami kerugian besar pada 2001.

"Rakyat Malaysia mahukan beliau (Najib) menjelaskan kebenaran, sama ada Mahathir atau Tajudin yang berbohong dan sama ada tindakan akan dikenakan terhadap Tajudin sekiranya beliau berbohong dalam afidavitnya," jelas Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tajudin baru-baru ini telah dibebaskan daripada hutang bernilai RM580 juta hasil daripada pinjaman yang dibuatnya bagi membeli MAS pada 1994, selepas bersetuju untuk penyelesaian di luar mahkamah yang diusahakan oleh pentadbiran Najib.

Namun, dalam afidavitnya kepada mahkamah sebelum itu, bekas pengerusi MAS itu mendakwa Dr Mahathir merupakan pihak yang bertanggungjawab mengarahnya untuk membeli saham MAS pada masa itu.

Menurut Tajudin, ia bertujuan untuk membantu Bank Negara selepas institusi terbabit mengalami kerugian pertukaran wang asing ekoran spekulasi dalam pasaran kewangan dunia.

Menjelaskannya sebagai 'khidmat kepada negara', Tajudin turut mendakwa pembelian itu turut didorong dengan 'perjanjian' bagi melindunginya daripada mengalami sebarang kerugian.

Namun demikian, Dr Mahathir menafikan tuduhan tersebut dalam buku autobiografinya yang dilancarkan Mac lalu yang mana beliau telah dikatakan memaksa Tajudin membeli MAS pada 1994 pada harga RM1.8 juta.

Lim bagaimanapun, menyatakan, dakwaan Tajudin lebih dipercayai daripada Dr Mahathir, kerana sebagai bekas pengerusi MAS, beliau lebih mengetahui bahawa dirinya akan di pertanggungjawabkan atas pertuduhan melakukan sumpah palsu sekiranya menipu dalam afidavitnya.

Penasihat DAP itu menambah, Tajudin "sudah hilang akal" untuk membeli saham MAS pada harga RM8 sesaham berbanding harga pasaran RM3.50.

Tajudin tambah Lim, hanya akan melakukan tindakan itu sekiranya mempunyai pelindung 'disebalik perjanjian tersebut', sebagaimana dakwaannya.

"Dakwaan itu jelas sangat sahih kerana kerajaan kemudiannya membeli semula saham tersebut daripada beliau (Tajudin) dua kali ganda daripada harga pasaran, yang mana kerajaan harus melakukannya,"kata Lim.

Sehubungan itu, pemimpin DAP itu mendesak jawapan yang "telus dan jujur" daripada Najib sama ada hutang RM589 juta Tajudin itu bermakna rakyat Malaysia masih lagi membayar untuk RM100 bilion skandal kewangan yang dikaitkan dengan Dr Mahathir ketika 22 tahun era pemerintahannya sebagai perdana menteri.

"Makin ramai rakyat Malaysia mempersoalkan perkara itu ekoran kurangnya ketelusan dan penjelasan berkenaan butiran bagi RM580 juta yang diselesaikan di luar mahkamah yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan menimbulkan persoalan sama ada Barisan Nasional (BN) telah meletakkan mereka ke dalam Guinness Book of Records dengan menjadi kerajaan pertama di dunia menyerahkan RM580 juta untuk penyelesaian di luar mahkamah," kata Lim.

Tiada ulasan: