Khamis, 26 Januari 2012

ANAK dakwa Felda defisit 1.2b pajak tanah pada FGV

Pakar ekonomi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) Dr Rosli Yaacop mendakwa Felda mengalami defisit pendapatan kira-kira RM1.2 bilion dalam perjanjian Felda apabila memajak tanah kepada Felda Global Venture dalam usaha penyenaraian syarikat itu di Bursa Saham Malaysia.

Katanya, berdasarkan perbelanjaan Felda pada tahun 2010 adalah kira-kira RM 2 bilion, tetapi mendapat pendapatan hasil pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan RM508 juta hasil keuntungan penjualan buah kelapa sawit segar.

"Kalau pendapatan kurang, tetapi perbelanjaan tinggi, kita mengalami defisit pendapatan.

"Felda nak ambil mana duit (yang selebihnya)... Felda tak mampu. Ini akan merugikan Felda dan rakyat akan menanggungnya.

"Sebab itu ia salah satu sebab mengapa kita menentang penyenaraian ini," katanya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dalam dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, Dr Rosli mendakwa dengan perjanjian itu juga, Felda akan kehilangan kuasa terhadap tanah-tanah yang diuruskan oleh Felda Plantation.

"Segala kuasa untuk mengurus (tanah) diserahkan bulat-bulat kepada Felda Global Venture.

"Tunggak (kuasa) dalam organisasi Felda, sebaik sahaja ditandatanagni, akan berpindah kepada FGV... (bagai) kepada datuk kepada cucu," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden ANAK, Mazlan Aliman yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan hari ini mendedahkan isi perjanjian antara Felda dan Felda Global Venture (FGV) yang disifatkannya sebagai "tidak adil dan berat sebelah" dalam usaha penyenaraian syarikat tersebut di Bursa Saham Malaysia.

Katanya, pendedahan itu dibuat selepas cadangan dan bantahan mereka terhadap penyenaraian tersebut, tidak boleh diterima oleh kerajaan, selepas NGO tersebut memberi masa yang cukup untuk kerajaan menimbang hasrat untuk berbuat demikian.

Katanya, jika perjanjian itu ditandatangani, institusi tanah itu akan menjadi "simbol atau patung dan tidak ada kekuatannya lagi".

"Segala urusniaga akan ditandatangani oleh Felda Global Venture. Apa keistimewaan FGV sehingga mendapat kenikmatan aman sentosa.

"Macam tu sekali tingginya martabat Felda Global Venture," katanya.

Beliau turut mengedarkan kepada media, isi-isi terma-terma komersil dalam perjanjian tersebut.

"Kalau kami dianggap pengkhianat, membocorkan kandungan perjanjian ini, Gerakan Selamatkan Felda sedia menghadapi risiko.

"Kita sedia berdebat, dan akan menampilkan ahli panel, dan menentang apa yang kami sifatkan sebagai satu tindakan membunuh institusi orang Melayu," tegasnya.

Tiada ulasan: