Khamis, 13 Oktober 2011

Peruntukan Ad Hoc Tanpa Dasar Adil Cacatkan Belanjawan Najib-BN 2012

DEFISIT BERLARUTAN SELAMA 15 TAHUN

Peruntukan Belanjawan Najib 2012 sebanyak RM232.8 bilion memperlihatkan peningkatan sebanyak 9% berbanding dengan peruntukan pada tahun 2011. Daripada jumlah tersebut, 78% atau RM181.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan 22% atau RM51.2 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Sementara itu, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dianggarkan meningkat 1.9% kepada RM186.9 bilion dan defisit Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan kepada 4.7% daripada KDNK atau RM45.9 bilion. Hal ini juga bermaksud, tahun 2012 merupakan tahun ke-15 Kerajaan Persekutuan mengalami defisit secara berterusan semenjak tahun 1998.

Sumber: Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan dan Laporan Bank Negara Malaysia

Jelas, tumpuan Belanjawan Najib 2012 ialah PRU Ke-13, bukan masalah ekonomi khususnya bagaimana negara berdepan dengan ekonomi dunia yang tidak menentu dan risiko defisit 15 tahun berturut-turut. Pakej Rangsangan Khas dengan jumlah projek bernilai RM6 bilion bukan sahaja tidak dibekalkan butiran, malah impaknya untuk merangsangkan ekonomi negara juga tidak meyakinkan.

Ekonomi dunia memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia. Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi dunia lemah dan disemak semula kepada 4 peratus pada tahun 2012, unjuran pertumbuhan ekonomi negara sekitar 5 hingga 6% bukan sahaja terlalu optimistik dan tidak meyakinkan, malah tidak bertanggungjawab. Pertimbangan PRU Ke-13 dan sifat short-sighted Belanjawan 2012 dilihat hanya mampu menjana pertumbuhan kurang daripada 4% pada tahun 2012.

Sesungguhnya, ramai penganalisa ekonomi berpendapat angka Kerajaan Persekutuan berhubung KDNK dan defisit adalah terlalu optimistik dan tidak meyakinkan.

Apabila diimbas kembali rekod displin fiskal khususnya bagi tiga tahun yang lepas Kerajaan Najib cenderung membentangkan sebuah Belanjawan Tahunan dengan kadar defisit yang lebih rendah, kemudian mengemukakan belanjawan tambahan pada masa depan yang bakal menyaksikan peningkatan perbelanjaan.

Jadual-jadual di bawah membuktikan kecenderungan yang dimaksudkan:


Kekurangan Dana dan Isu Pembiayaan

Menurut Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Kerajaan BN dijangka mengumpul sebanyak RM88 bilion (berbanding RM58 bilion tahun lalu) melalui Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) bagi tujuan membiayai defisit belanjawan dan bon yang matang <1>.

MARC menjangkakan defisit belanjawan tahun 2011 berada pada paras RM45.5 bilion manakala MGS/GII yang matang pada tahun ini adalah bernilai RM45 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai keperluan pembiayaan berjumlah RM90.5 bilion.

Terbitan MGS telah mencecah RM66.5 bilion ataupun 74% daripada sasaran terbitan bagi tahun 2011. Menurut HSBC Global Research, dana asing berjumlah RM62 bilion telah dilabur di dalam pasaran MGS pada enam bulan pertama tahun 2011.<2>

Kini dengan pengumuman defisit sebanyak RM43.021 bilion bagi tahun 2012, isu pembiayaan sebenar yang bakal dihadapi Kerajaan Persekutuan menjadi persoalan penting. Sejauh mana perangkaan sebuah Belanjawan Negara yang tidak berhemat bakal meninggalkan tanggungan berat kepada generasi muda pada masa depan?

GOLONGAN BERPENDAPATAN MENENGAH JUGA BERDEPAN DENGAN BEBAN HIDUP YANG BERAT

Golongan berpendapatan menengah yang bukan pelabur atau peniaga besar tidak layak mendapat “handout” RM500 kerana jumlah pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan fakta bahawa biasanya lebih daripada seorang ahli keluarga perlu bekerja. Namun mereka juga berdepan dengan beban hidup yang berat.

Golongan berpendapatan menengah yang juga merupakan pembayar cukai tidak mendapat sebarang bantuan bermakna untuk meringankan beban hidup. Kadar caruman KWSP sebanyak 11% tidak diturunkan daripada 11% kepada 8%. Kadar cukai pendapatan individu juga tidak diturunkan. (sila lihat jadual di bawah) <3> Ekoran itu, golongan ketua isi rumah berpendapatan menengah berdepan dengan tekanan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan pendapatan boleh guna tidak bertambah.

MASALAH PERUNTUKAN AD HOC TANPA DASAR ADIL

Dasar Transformasi Nasional (DTN) lebih merupakan kumpulan siri projek yang memperlihatkan peruntukan secara rampang dan ad hoc melalui Belanjawan Najib meskipun DTN mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020. Sesungguhnya, perancangan dasar negara bukan sahaja memerlukan pemahaman masalah, desakan dan tuntutan rakyat tetapi juga pendekatan dan penyelesaian masalah secara dasar.

Dalam peruntukan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan, meskipun demi tujuan meraih undi untuk PRU Ke-13, Najib terpaksa memberikan peruntukan kepada semua jenis sekolah tanpa mengira jenis aliran, tetapi peruntukan secara mendatar (egalitarian) tanpa mengira nisbah peruntukan terhadap bilangan sekolah bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikannya.

Pengiraan peruntukan RM1 bilion tersebut berdasarkan nisbah apabila dibandingkan dengan peruntukan Belanjawan Najib tanpa mengira nisbah memberikan scenario keadilan social yang berbeza dan memperlihatkan perbezaan antara peruntukan secara dasar dengan peruntukan secara ad hoc.

STATISTIK KPRU: PURATA PERUNTUKAN KEPADA SEKOLAH RENDAH TANPA MENGIRA NISBAH BILANGAN SEKOLAH (SECARA AD HOC)

STATISTIK KPRU: PURATA PERUNTUKAN KEPADA SEKOLAH RENDAH BERDASARKAN NISBAH BILANGAN SEKOLAH (SECARA DASAR)

Pengagihan semula pendapatan negara apabila dilakukan secara dasar dapat menjamin pembangunan masyarakat secara menyeluruh. Contoh pengiraan di atas menunjukkan bahawa, sekolah kebangsaan sewajarnya diberikan peruntukan sebanyak RM758.54 juta dan bukannya RM500 juta. Peruntukan ad hoc dan dasar tidak adil BN selama ini telah mengakibatkan peruntukan yang cacat dilaksanakan demi meraih undi menjelang PRU Ke-13.

Menyentuh pendidikan manusiawi, tidak cukup sekadar memansuhkan bayaran bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah. Isu yang lebih penting ialah bagaimana beban bag murid sekolah yang berat dapat diberikan perhatian khusus dan isu penerbitan buku teks membabitkan kemelut antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn. Bhd. Harus diberikan penjelasan secara menyeluruh oleh kementerian dan agensi berkaitan kerana kemelut ini melibatkan persoalan dasar.

SUBSIDI KORPORAT KEKAL

Subsidi korporat kekal. Kerajaan Persekutuan nampaknya tidak berniat hendak menstruktur semula dasar subsidi supaya subsidi korporat dijuruskan ke arah pengukuhan jaringan keselamatan social berlandaskan ekonomi manusiawi dan bukannya ke arah pengukuhan politik naungan berlandaskan ekonomi kronisme.

Berdasarkan laporan The Edge Financial Daily bertarikh 25 April 2011, keuntungan bersih Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 37% (RM630.3 million) pada 2QFY011, berbanding tahun lepas sebanyak RM1 bilion.

Selepas pengumuman peningkatan kos tenaga, terdapat pendedahan bahawa Petronas terpaksa menanggung subsidi gas sehingga mencecah RM131 bilion akibat daripada perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad dan IPP, dipaksa menjual gas dengan harga yang lebih rendah kepada IPP tetapi Kerajaan BN sebelum ini telah memotongkan subsidi kepada rakyat dalam barangan keperluan.

1.http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/3/23/business/8324459&sec=business#13165856481881&if_height=619

2.http://www.thesundaily.my/news/131225

3. http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/10/7/business/9647201&sec=business

4. http://emisportal.moe.gov.my/emis/emis2/emisportal2/doc/fckeditor/File/BukuPerangkaan10/BAB_2.pdf

5. Laman Web Kementerian Pelajaran, < Perangkaan Pendidikan Malaysia 2010 > membekalkan statistic pelbagai jenis sekolah rendah tetapi tidak merangkumi Sekolah Mubaligh dan Maktab Rendah Sains MARA. KPRU Andaikan Pendidikan Khas merangkumi kedua-dua Sekolah Mubaligh dan Maktab Rendah Sains MARA sekadar untuk tujuan pengiraan. Seperkara lagi ialah Sekolah Independen Cina telah diabaikan dalam peruntukan Kerajaan BN.

Tiada ulasan: