Khamis, 22 September 2011

WikiLeaks Dedah Perangai Buruk Melayu Umno

Analisis Isu
"KERAJAAN RAKYAT l KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Kerja Raya Malaysia yang belum diterbitkan mendapati kontraktor bumiputera negara itu menjual kontrak-kontrak kerajaan yang diperoleh mereka untuk membeli kereta dan rumah mewah.

Mereka juga menyalahgunakan pembayaran yang diterima daripada perbendaharaan negara, dedah sebuah kabel diplomatik Amerika Syarikat.

Maklumat kabel itu, yang didedahkan laman web WikiLeaks, muncul selepas Putrajaya bersetuju mengagih kontrak bernilai RM8 bilion ($3.2 bilion) bagi pembangunan prasarana termahal di negara itu, Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang, yang sejak awal meletakkan syarat ketat ke atas kontraktornya.

Kabel diplomatik Amerika itu memetik sumber Kementerian Kerja Raya sebagai berkata 'kajian ke atas kebocoran kontraktor bumiputera' itu adalah hasil maklum balas daripada pelbagai sumber industri mengenai projek yang gagal dan yang berjaya.


Laporan itu digunakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk menyelar peniaga bumiputera yang gagal pada Februari 2007.

'Sistem semasa dalam menganugerahkan kontrak mewah kerajaan kepada bumiputera menawarkan kepada mereka satu insentif ekonomi yang kukuh untuk bertindak sebagai ejen, mengambil kesempatan seberapa banyak projek yang mungkin dan mengambil potongan (bayaran) sebelum menyerahkan setiap satu (projek itu) kepada seorang pelaksana bukan bumiputera yang cekap.

'Sistem 'ejen bumiputera' ini sudah berakar umbi di Malaysia. Apa sahaja usaha membuat pembaharuan dijangka ditentang bukan sahaja oleh golongan bumiputera yang sudah mantap malah oleh pelaksana bukan bumiputera yang telah membina satu rangkaian perkongsian ejen yang kukuh,'simpul Kedutaan Amerika dalam laporan di gerbang berita dalam talian Malaysia Today.

Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa Malaysia supaya memastikan lebih banyak ketelusan dan keadilan dalam proses pemerolehan kerajaannya sebagai sebahagian daripada rundingan perjanjian dagangan bebas mereka, yang masih belum lagi diselesaikan.

Dalam kabel yang dibocorkan itu, kedutaan Amerika antara lain melaporkan, sumber kementerian berkenaan mendedahkan bahawa ramai kontraktor bumiputera menjual tender mereka bagi mendapatkan 'wang segera' demi membiayai kereta dan rumah mereka.

'Laporan itu juga mendapati kontraktor bumiputera menyalahgunakan bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk membayar pemiutang dan mereka biasanya meminta tender kerajaan tambahan untuk menyelesaikan apa yang sudah diberikan kepada mereka,' tambahnya. -- Agensi.

Tiada ulasan: