Jumaat, 12 Ogos 2011

Terlalu ramai Senator dalam kabinet Najib

Dengan perlantikan Palanivel, Presiden baru MIC sebagai Senator dan dilantik sebagai anggota kabinet, maka kabinet Najib mempunyai begitu ramai senator. Ada lima orang senator sebagai Menteri penuh, dan ada 5 orang senator sebagai Timbalan Menteri.

Kalau saya tidak silap, semasa Tun Haji Abdul Razak Hussain menjadi Perdana Menteri, hanya ada seorang sahaja Senator yang berjawatan Menteri. Senator itu pun hanya kekal sebagai senator selama lebih kurang 6 bulan sahaja untuk memahirkan dia sebagai Menteri, dan selepas itu Menteri berkenaan meletakkan jawatan sebagai Senator dan bertanding di kawasan Parlimen Lipis, iaitu Senator Tan Sri Ghazali Shafei.

Kabinet Najib dari masa ke semasa menambahkan bilangan Senator menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Ini membawa erti bahawa Najib menganggap Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional adalah terdiri daripada mereka yang tidak layak mengisi Dewan Parlimen. Atau adakah sebenarnya Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menjadi calon didalam Pilihanraya Umum ke-12 dahulu terdiri daripada mereka yang tidak layak dijadikan Ahli Parlimen.

Didalam pada itu berlaku pula keganjilan bahawa ada penjawat jawatan penting didalam pimpinan Pemuda UMNO tidak dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Sedangkan orang nombor dua dari hiraki Pemuda UMNO dilantik sebagai Timbalan Menteri, dan tentu ada muslihat yang hanya boleh dibuat pelbagai andaian bahawa orang yang dikalahkan oleh Ketua Pemuda UMNO untuk jawatan Ketua dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Perlantikan Palanivel sebagai Menteri pula tidak membayangkan bahawa Najib mahukan tokoh yang benar-benar berupaya menjadi Menteri kerana Palanivel pernah menjadi Menteri dan beliau tidak membawa sebarang impak pun didalam kementeriannya.

Mungkin Najib memahukan senator-senator yang dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri didalam kabinetnya itu boleh memainkan peranan besar, namun prestasi Menteri-Menterinya yang dilantik sebagai Senator itu tidaklah menunjukkan KPI yang baik.

Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional tentulah juga tertanya-tanya kenapa perlunya dilantik Senator untuk dijadikan Menteri, sedangkan Menteri-Menteri/Timbalan-Timbalan Menteri itu tidak menunjukkan prestasi yang tinggi. Mereka juga tertanya-tanya kenapa mereka itu dilantik senator untuk ke jawatan Menteri kerana kebanyakan Senator itu terdiri daripada mereka yang pernah menjawat jawatan Menteri dan telah kalah didalam pilihanraya umum yang lalu yang juga membawa erti bahawa Menteri-Menteri/Timbalan-Timbalan Menteri itu ada terdiri daripada mereka yang gagal semasa memegang jawatan itu dahulu.

Senator sewajarnya dilantik sebagai Menteri kabinet hanya untuk keperluan yang benar-benar boleh memberikan jawapan kepada keperluan yang terdesak yang sangat memerlukan kehadirannya. Tetapi jika senator/Menteri itu berperanan hanyalah sebagai senator/Menteri yang biasa sahaja, maka keperluan melantik begitu ramai senator untuk dijadikan Menteri/Timbalan Menteri adalah satu exercise sekadar nak menunjukkan bahawa "aku boleh buat apa aku suka sebagai Perdana Menteri" dan boleh dikategorikan sebagai menyalahgunakan kuasa.

Dan jika dikatakan bahawa kabinet Najib adalah kabinet yang lemah, maka itulah jawapan kepada persoalannya.

Tiada ulasan: