Rabu, 8 Jun 2011

Pendakwaan terhadap Khir Toyo adalah wayang- Haniza

KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo merupakan wayang yang akan berakhir dengan pembebasan beliau, kata Timbalan Speaker Dewan undangan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Haniza mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni daripada tuduhan bersubahat dengan Khir, berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 Shah Alam empat tahun lalu.

“Seperti kes melibatkan (Tan Sri) Eric Chia dan Perwaja, akhirnya dibebaskan. Jadi, jangan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia yang memerhatikan perjalanan kes ini.

“Dalam masa sama, mereka tuduh pihak lain merasuah dengan bukti yang tak wujud,” katanya merujuk tuduhan yang dilempar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2009 kerana menderma 46 ekor lembu kepada fakir miskin.

Haniza yang juga Adun Taman Medan berkata, meskipun Khir tidak boleh dijatuhkan hukuman sebelum diputuskan mahkamah, namun beliau meragui kewibawaan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap berat sebelah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Saifullah Zulkifli berkata, perbicaraan terhadap Khir yang menyalahguna kuasanya sebagai penjawat awam untuk meluluskan pembelian hartanah, tidak lebih sekadar gimik politik.

“Adakah prosedur pembelian hartanah dipatuhi? Apakah Khir tidak menyalahguna kapasitinya sebagai Menteri Besar untuk mendapat hartanah mewah di lokasi strategik?,” soalnya.

Katanya, siasatan terhadap Khir Toyo tidak seharusnya menjurus kepada transaksi pembelian tanah tersebut, bahkan sumber perolehan kewangan juga perlu didedahkan.

“Persoalan timbul ialah sumber kewangan mana yang diperolehi Khir untuk membeli tanah tersebut? Kita juga ingin tahu, apakah sumber kewangan itu menggunakan dana rakyat Selangor?” soal Saifullah.

Disebabkan itu, katanya, selepas Pakatan mentadbir Selangor, maklumat yang sebelum ini dianggap sulit kini boleh diakses orang ramai melalui Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Zahrah Kechik suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam.

Ia diterima daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: