Selasa, 10 Mei 2011

'Beri rebat yuran pengajian dulu'

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) diminta supaya memberi rebat yuran pengajian kepada pelajarnya terlebih dahulu, sebelum meminta Kerajaan Negeri menunaikan permintaan universiti itu mendapatkan rebat cukai tanah.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Zulkifli Yahaya berkata, sekiranya banyak pihak mendakwa Kerajaan Negeri tidak prihatin kerana menolak permohonan rebat UUM, universiti itu pula diminta memberi rebat yuran pengajian sebagai tanda prihatin kepada pelajarnya.

“Ini bukan soal prihatin atau sebaliknya, tetapi berdasarkan undang-undang. Mengapa UUM tidak beri rebat pada pelajarnya jika prihatin dengan kebajikan mereka, kalau UUM sendiri tidak mampu beri rebat, jadi jangan pula meminta pada Kerajaan Negeri,” katanya, mengulas beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang membidas tindakan Kerajaan Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menolak permohonan rebat cukai UUM, seperti mana yang diberikan ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN).

Zulkifli berkata, situasi ini hanya berlaku di Kedah, tetapi tidak di negeri-negeri lain, terutama bawah Kerajaan BN, dan menyifatkan ianya hanya helah politik.

“Mengapa Kerajaan Negeri Perlis yang diperintah BN tidak memberi rebat kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang kadar cukainya jauh lebih tinggi berbanding UUM?” katanya.

Menurutnya, ekoran daripada pemberian rebat, Kerajaan Negeri terdahulu telah hilang hasil mencecah RM4,933,071.00, menyebabkan perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat diambil alih oleh Pusat ekoran kelemahan Kerajaan Negeri ketika itu.

“Sekarang Kerajaan Negeri perlu berdikari. Walaupun Kedah masih menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh Pusat. Contohnya, ramai penerima bantuan e-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan mereka adalah penerima bantuan Kerajaan Negeri bawah e-Sinar,” katanya.

Zulkifli berkata, selain mencari dana untuk pembangunan negeri, Kerajaan Negeri juga terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu mencecah RM2.3 bilion, di mana RM1.83 bilion adalah hutang berkaitan air.

“Disebabkan prihatin kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri akan pastikan setiap sen digunakan untuk kesejahteraan mereka," katanya.

Zulkifli turut membidas UUM mempertikai cukai tanah kerana syarikat milik UUM memperoleh keuntungan RM80 juta tahun lalu.

“Mereka kata bukan berorientasikan perniagaan, tetapi premis dan tanah yang cukainya berstatus IPTA hanya dikenakan 20 sen meter persegi. Ini menunjukkan mereka mampu bayar ikut kadar sebenar,” katanya.

Tiada ulasan: