Isnin, 16 Ogos 2010

MARUAH PENEROKA BUKAN RM350



1. Setelah masyarakat peneroka bangkit menuntut hak yang diperah oleh Felda selama ini sehingga peneroka bukan sahaja berani membawa kes tuntutan mereka ke mahkamah , bahkan mereka telah menang beberapa kes tuntutan terhadap Felda seperti di Felda Kemahang.

2. Felda juga berdepan dengan tuntutan hak RM 80 juta oleh pihak peneroka Felda di Moakil Labis . Saya mendapat maklumat akan ada beberapa daerah lagi selepas ini , peneroka Felda akan menfailkan tuntutan hak mereka setelah sekian lama keringat mereka diperah secara salah oleh pihak Felda .

3. Hak penempatan generasi kedua Felda mari belum diurus dan diselesaikan dengan baik termasuk layanan wajar belum diberikan kepada peneroka yang tidak menyerahkan pengurusan tanam semula ladang sawit mereka kepada Felda . Peneroka yang tanam sendiri ladang mereka [ kerana tidak mahu lagi membelenggu diri dengan hutang baru setelah hutang lama memakan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan ] seperti dianak tirikan .

4. Sejak sekian lama Felda berniaga dan membuat untung ratusan juta ringgit di atas keringat peneroka yang membanting tulang di ladang - ladang mereka tanpa mereka pula mendapat pulangan yang sewajarnya , malah hidup dibelenggu hutang yang dipaksa oleh Felda ke atas mereka , kini menyaksikan kebangkitan peneroka Felda dan generasi keduanya .

5. Gusar terhadap perkembangan ini , kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengisytiharkan penganugerahan "gula - gula" raya sebanyak RM 350 kepada peneroka yang bersama Felda dan RM 150 kepada peneroka yang tidak bersama Felda .

6. Inilah kali pertama sebagai generasi kedua Felda setelah menetap di Felda sejak tahun 1979 saya mendengar ada 2 kategori peneroka iaitu peneroka yang bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda . Sebahagian peneroka menjadi anak emas mereka lalu dapat gula - gula besar bernilai RM 350 dan peneroka yang menjadi anak tiri mereka hanya mendapat gula - gula kecil bernilai RM 150 .

7. Sampai bila mereka mahu membiarkan peneroka - peneroka ini "rongak gigi" memakan gula - gula setiap kali menjelang musim dekat pilihanraya . Peneroka di alam "kanak - kanak" dulu bolehlah disuakan gula - gula agar mereka berhenti menangis dan menjerit . Kini peneroka sudah dewasa dan matang . Mereka mula nampak hak mereka yang diragut malah menyedari bahawa hak mereka tidak sekadar berjumlah RM 350 atau RM 150 .

8. Saya menganggap pemberian gula - gula ini bukan hadiah Felda atau kerajaan sempenan hariraya tetapi satu penghinaan Felda atau kerajaan kepada rakyat menjelang hari raya dan pilihanraya .

9. RM 350 erti tidak sampai RM 1 satu hari untuk tempoh setahun . Bagaimana untuk sekian lama tempoh peneroka ditindas dan dinafikan hak mereka ? Hari ini , anak - anak kita nak pergi ke sekolah , kalau hanya diberi RM 0.50 akan membuatkan si anak bermasam muka , kerana memikirkan apalah yang boleh dibeli olehnya dengan wang sebanyak RM 0.50 sehari kecuali air masak sejuk .

10. Kali ini Felda pula cuba membuatkan penerokanya bermasam muka dengan gula - gula bernilai RM 350 yang entah untuk tempoh berapa tahun ? Peneroka sendiri tentunya tahu berapa nilai maruah mereka , malah saya yakin peneroka juga tahu bagaimana mahu mempertahankan maruah mereka . Apa yang pasti , Maruah peneroka Felda bukan sekadar RM 350

Tiada ulasan: