Sabtu, 10 April 2010

APCO : Dr Lo' Lo Buat Laporan Polis

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali membuat laporan Polis di Balai Dang Wangi di sini, mengenai pembabitan Kerajaan Malaysia dengan APCO Worldwide.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut memohon satu siasatan terperinci dilakukan terhadap APCO Worldwide.

"Saya selaku rakyat Malaysia amat bimbangkan hubungan secara kontrak dengan syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd tersebut mendedahkan maklumat sulit negara dan boleh mengancam keselamatn negara.

" Saya sebagai seorang muslim juga amat sedih apabila hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas tersebut," katanya dalam laporan tersebut.

Beliau juga berkata Perdana Menteri seharusnya mengambil tanggungjawab membuat penjelasan berhubung perkara itu kepada semua ahli Parlimen.

"Saya harap Perdana Menteri mengambil tangggungjawab untuk memaklumkan kepada ahli Parlimen apakah tindakan-tindakan yang telah diambil, bukan membuat kenyataan di luar Parlimen.

Beliau turut kessal apabila parlimen meluluskan bajet sebanyak RM28 juta untuk dibayar kepada APCO

"Semalam Parlimen telah meluluskan bajet perbekalan tambahan di mana di situ ada bajet sebanyak RM28 juta kepada APCO.Sampai sekarang tidak ada apa-apa pun pengumuman kepada ahli Parlimen sedangkan itu sesi perbekalan dan kita ahli parlimen Pakatan Rakyat telah menolak perbekalan bajet tambahan ini kerana ada bajet untuk APCO,"

Mengulas mengenai ura-ura Kerajaan tidak akan memperbaharui kontrak APCO apabila ia berakhir pada 4 Ogos tahun ini, beliau berharap ia bukan tindakan kosmetik semata-mata.

"Kalau ada tindakan-tindakan seperti itu kita harap ia bukan tindakan kosmetik semata-mata tapi tindakan yang betul-betul. Kita mahu Apco ditamatkan terus kontraknya," katanya.

Mengulas larangan Ketua Polis Negara kepada ahli politik agar tidak menggunakan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat katanya menunjukkan kerajaan takut perkara sebenar terdedah kepada umum.

Mengulas lanjut beliau berkata, kenyataan Tan Sri Musa Hassan itu bagi menghalang rakyat mengetahui perkara sebenar mengenai sikap sambil lewa Kerajaan dalam menjaga keslamatan negara.

" Tindakan Tan Sri Musa Hassan itu bagi saya untuk menghalang maklumat sebenar sampai kepada rakyat. Bagaimana kecuaian dan kelalaian Kerajaan Malaysia dalam isu keselamatan negara yang tidak sepatutnya berlaku. Rakyat patut tahu perkara ini," katanya.

Musa membuat larangan itu sebagai respon kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Selasa lepas bahawa terdapat perisik Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Anwar juga mendedahkan beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel itu mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui sebuah syarikat pengkomputeran yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM yang didaftarkan di Singapura.

Musa bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya mengarahkan pegawainya menyiasat Anwar di atas dakwaan itu.

Tiada ulasan: