Sabtu, 6 Mac 2010

ISU NAIK TOL: hangpa kaya tak pa laa....


Fikir masak-masak kawan sebelum cakap

SAYA ingin merujuk kepada tulisan saudara Razak Thamrin (Utusan Malaysia, 24 Feb 2010) yang meminta pengguna lebuh raya menerima hakikat akan kenaikan tol terutamanya di lebuh raya PLUS dalam masa terdekat ini.

Saudara Razak masih menggunakan pendekatan lama untuk "menghalalkan" kenaikan tol di Malaysia dengan membandingkan kadar tol di Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Kenapa memilih negara-negara ini? Kenapa tidak membandingkan Malaysia dengan negara-negara maju di dunia yang menyediakan lebuh raya percuma dan tol murah kepada rakyatnya? Kita masih lagi mengulangi kesilapan dengan menggunakan alasan lapuk apabila ingin menaikkan harga barang atau tol.

Penulisan Saudara Razak sama ada secara kebetulan atau dirancang disiarkan hampir pada hari yang sama keuntungan PLUS diumumkan. Menurut laporan Utusan Malaysia, Plus mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.62 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 dan kononnya sebahagian daripada keuntungan Plus datangnya dari pelaburannya di India.

Siapa pemegang saham PLUS? Menurut kenyataan Pengerusi PLUS yang disiarkan didalam laman webnya, 64 peratus saham PLUS dipegang oleh Khazanah Holdings Berhad sementara 20 peratus lagi adalah dipegang oleh KWSP, Perkeso, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Amanah Pencen, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji. 10 peratus dipegang oleh pelabur asing dan selebihnya 6 peratus dipegang pelabur awam.

Maknanya, PLUS adalah syarikat milik kerajaan dengan pegangan 84 peratus saham. Dengan kata lain, PLUS, sebuah syarikat kerajaan, mendapat keuntungan dengan mengutip berbilion ringgit dari rakyat dengan mengutip tol dilebuhraya. PLUS juga membayar dividen berjumlah hampir RM800 juta pada 2008 kepada syarikat-syarikat kerajaan ini. Begitu kayanya PLUS sebagai sebuah syarikat kerajaan. (Lihat laman web Plus)

Pada tahun 2008, kutipan tol PLUS berjumlah RM2.2 bilion, yang tertinggi dalam sejarah. Keuntungan yang berbilion ini sesuatu yang 'obscene' atau memilukan ketika rakyat mengharungi suasana ekonomi yang mencabar ini.

Perlukah sebuah syarikat kerajaan mengutip tol berbilion ringgit dari rakyatnya sendiri? PLUS mungkin akan merujuk kepada perjanjian konsesi dengan kerajaan mengenai jadual kenaikan tol. Tetapi ini perkara mudah kerana kerajaan adalah pemilik PLUS.

Saudara Razak perlu ingat bahawa bukan faktor "tol kita rendah, tol negara lain tinggi" sahaja perlu dijadikan landasan untuk menaikkan tol. Rakyat Malaysia sudah berubah. Yang perlu menjadi pertimbangan ialah apakah rakyat dapat menerima satu kenaikan tol ketika kos hidup meningkat. Apakah pertimbangan politik kita untuk menaikkan tol?

Mungkin kenaikan tol sebanyak 10 peratus satu jumlah yang kecil kepada Saudara Razak atau golongan yang berharta. Kepada saya yang mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja, lima orang anak yang berada di universiti dan perlu menggunakan lebuh raya bertol untuk ke tempat kerja, ia satu beban yang amat berat untuk keluarga.

Oleh itu, fikirlah semasak-masaknya sebelum menaikkan tol demi kebaikan rakyat.

Tiada ulasan: